Rumah Melayu Bugis

Jalan menuju ke Pelabuhan Tanjung Batu

Zaman kanak-kanak ialah zaman yang manis walaupun ada juga pahitnya. Makan minum ditanggung, masih hijau tentang perihal kehidupan, ingatannya hanya bermain sahaja. Dari itu mereka perlu diawasi dan dididik agar tidak membuat perkara yang bukan-bukan.

Begitu juga saya, suatu masa dahulu saya juga termasuk dalam gulungan kanak-kanak. Banyak kenangan pahit dan manis yang masih segar dalam ingatan saya. Antara yang pahit ialah ketika mengejar kawan tak dapat lalu terlanggar bucu tembok. Akibatnya koyak dahi saya, terpaksa ke hospital untuk dijahit. Parutnya kekal sampai sekarang. Yang manisnya ialah mengingat kembali akan apa-apa yang saya lakukan pada masa itu. Kenangan manis yang menimbulkan keinginan saya untuk mencari rumah yang seperti rumah nenek saya dahulu di Kampung Hidayah, Lorong 21, Geylang, Singapura.

Gerai-gerai tepian jalan di Tanjung Batu ketika Supermoon mengambang

Dari bentuk yang asal, rumah nenek saya telah diperbesarkan dan ditambah lagi empat pintu. Tiga darinya disewakan dan yang satu lagi menjadi rumah bagi keluarga saya. Ianya terletak di tepi salah satu cabang dari Sungai Kallang. Dari belakang rumah, saya boleh ke rumah nenek melalui titian berpagar yang menyambung rumah keluarga saya dengan rumah nenek. Titian ini juga berfungsi sebagai bilek air kami, disinilah kami mandi. Ada satu lagi titian berpagar dari belakang rumah menghala ke tengah sungai di mana pada penghujungnya terdapat satu pondok. Pondok inilah tempat kami buang air samaada besar atau kecil. Kalau buang air besar ketika air surut ketepek bunyinya dan ketika air pasang plung bunyinya. Bunyi yang bergema dengan jelas di dalam pondok itu.

Sungai-sungai di Singapura bukanlah sungai yang sejati dalam erti kata sebenarnya. Ianya bukan dari air yang mengalir dari sumber-sumber mata air yang terdapat di gunung-ganang atau bukit-bakau. Malah ia saolah-olah rekahan di bumi yang bermula dari tepian pantai menusuk masuk ke dalam. Mungkin suatu masa dahulu ia sememangnya sungai yang sejati yang mana kini sudah mati dan tinggal hanya bekasnya sahaja. Oleh itu air sungai di belakang rumah akan naik dan turun mengikut pasang dan surutnya air laut. Jika air laut pasang besar, maka seluruh kawasan halaman kampung akan dipenuhi air. Ini menjadikan halaman kampung saolah-olah kolam renang yang besar. Ramai anak-anak kampung akan mandi, bermain dan berenang melainkan saya kerana dilarang ibu. Saya hanya duduk di tangga berandah rumah nenek melihat kawan-kawan yang lain mandi dan bermain dengan riangnya. Sesekali ada juga saya berjalan-jalan mengharung air.

Sewaktu air pasang penuh, selain dari ikan-ikan berenang kedalam ada juga najis-najis yang hanyut ke halaman kampung dan sesudah surut terdapat ada yang tertinggal. Ini menyebabkan anak-anak kampung ketika leka bermain, kadangkala terpijak najis ini (ini kenyataan yang saya tahu benar). Pernah suatu ketika dahulu seorang lelaki barat masuk kampung dan saat ia melihat air pasang penuh langsung mengucapkan, “Oh! High tide.” Ucapan ini telah menjadi bahan ketawa anak-anak muda kampung. Orang putih pun tahu, “Oh! Air tahi.”

Tidak terdapat banyak rumah seperti rumah nenek saya yang masih berdiri tegak, indah tersergam pada masa kini. Banyak yang sudah usang, dirubuhkan dan diganti dengan rumah baru yang tiada sama ciri-cirinya. Saya ingin mengambil kesempatan yang masih ada ketika ini untuk megambil gambar-gambar rumah yang ciri-cirinya sama dengan rumah nenek saya untuk disimpan sebagai kenangan dan juga sebagai rujukan. Banyak tempat sudah saya ziarahi di Johor-Riau, tetapi belum seluruh pelusuk, banyak yang tiada. Setakat ini saya hanya dapat menemui satu di Pontian, Johor, Malaysia. Di Kepulauan Riau pula setelah ke Singkep, Selayar, Lingga, Karimun dan Moro tiada saya temukan. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya ketemu dengan dua buah rumah di Sungai Sebesi (Sungai Besi), Pulau Kundur, Kepulauan Riau, Indonesia. Inilah rumah orang-orang melayu suku bugis suatu ketika dahulu. Ciri-ciri penuhnya ialah:

1) Rumah panggung yang bertiang kayu,
2) Terdapat kayu melintang yang dipasakkan pada tiang-tiang itu dibahagian atas dekat dengan lantai,
3) Ia mempunyai berandah,
4) Tingkapnya labuh sampai ke lantai dan banyak jumlahnya.

Serkat, Pontian, Johor, Malaysia. Berandah di kiri terlindung. Ciri-ciri yang sangat serupa dengan rumah nenek saya termasuk papan dinding yang bertindih dan ketinggian tiang-tiangnya. Kayu yang melintang antara tiang-tiang itu kerap saya terantuk jika leka ketika keluar masuk kolong rumah. Anjung yang kelihatan melintang ialah tambahan yang baru bukan dari asal

Inilah kayu yang melintang pada tiang-tiang rumah di sebelah atas

Kayu yang melintang pada sebelah atas tiang-tiang rumah

Sungai Besi, Kundur, Kepulauan Riau, Indonesia

Sungai Besi, Kundur, Kepulauan Riau, Indonesia

Tiada berandah. Sungai Besi, Kundur, Kepulauan Riau, Indonesia

Rumah usang. Selat Belia, Kundur, Kepulauan Riau, Indonesia

 

Lanjutan: 28 Mac 2016

Sebagaimana yang disyurkan oleh Pak Arya dibahagian komentar artikel ini, saya telah pergi ke Pulau Bengkalis pada hari Jumaat yang lalu.  Belum pernah saya ke Pulau Bengkalis, inilah kali pertama.  Feri langsung terus ke Pulau Bengkalis boleh didapati di bandar Muar, Johor dan kota Melaka. Saya menggunakan laluan Muar-Bengkalis untuk pergi dan pulang megikuti laluan Bengkalis-Melaka.

Buat menjelajahi Pulau Bengkalis, saya telah mendapatkan khidmat Bapak Zainuddin dengan becakmotornya. Memang benar terdapat banyak rumah-rumah panggung lama di sana hanya hampir keseluruhannya tidak mempunyai ciri-ciri rumah melayu bugis seperti yang tertera di atas.  Walaubagaimanapun, alhamdulillah, saya tidak kecewa kerana saya ada berjumpa dengan satu rumah yang mempunyai ciri-ciri penuh tersebut.  Ianya terletak di Jalan Kelapapati Laut tidak jauh dari Masjid Istiqomah, Pulau Bengkalis.  Berkemungkinan juga ada lagi rumah-rumah seperti ini di tempat-tempat yang saya belum lewati.  Mungking di lain kesempatan jika ada dan tidak lupa juga untuk saya ucapkan terima kasih saya kepada Pak Arya, BarakAllah.

Inilah rumah yang terdapat di Jalan Kelapapati Laut, Pulau Bengkalis.

Kelapapati Laut

Jalan Kelapapati Laut, Pulau Bengkalis, Riau, Indonesia

 

Bapak Zainudding

Saya ucapkan terima kasih atas jasa bapak Zainuddin membawa saya menggelilingi Pulau Bengkalis