Ku Teringat

Sesuatu yang telah lama terpendam di dalam jiwa ini yang tidak aku ketahui akan keberadaannya hanya merasakan sesuatu tanpa kuhiraukan.  Kini beberapa hari sebelum menjelangnya bulan Ramadhan yang mulia ini, aku telah disadari akan keberadaannya, sesuatu yang menenangkan jiwa ini bilamana aku ingatkannya.  Inilah dia yang aku maksudkan, yang mengingatkan aku kepada yang dicintai;

 

HASBUNALLAH WANI’MAL WAKIL

 

Dan ini penjelasan lanjut bagi yang dicintai;

 

Tidak sempurna cinta itu kalau tidak mencintai sesuatu yang dicintai oleh yang kita cintai;

Marhaban Ya Ramadhan 1438

Kepada sekalian muslimin dan muslimat saya ucapkan,

“Selamat menjalankan ibadah puasa Ramadhan, semoga ibadah puasanya dan lain-lain ibadah yang dikerjakan sepanjang bulan yang mulia ini diterima Allah s.w.t.”.

Bersungguh-sungguhlah dan hayatilah menjalan ibadah ini kerana dengan keadaan dunia masakini yang semakin lama semakin meresahkan, diharapkan ianya dapat memperteguhkan diri dan jiwa buat menghadapi masa-masa yang mendatang.  Amin, Ya Rabbal ‘Alamin.

Semoga kembali Fitrah.

Tabung Pembangunan Masjid & Amal Jariah Johor

msabjb

Tabung ini telah dirasmikan pada tahun 2010 oleh Menteri Besar Johor ketika itu YAB Datok Haji Abdul Ghani Othman.  Sudah agak lama, akan  tetapi maklumat yang penting berkaitan tabung ini amat sukar mendapatkannya atas talian.  Yang saya mahukan ialah nombor akaun bank untuk saya menyalurkan matawang yang saya mahu salurkan.  Tiada saya menjumpainya.  Mungkin juga di Facebook, tetapi maaf, tidak pula saya menggunakannya jika diperlukan loggin-in.  Sebenarnya saya ada menyimpan nombor akaunnya di komputer peribadi saya, tapi entah di mana.  Saya ambil jalan mudah, cari atas talian.  Rupa-rupanya ia tidak mudah dan senang.  Akibatnya mahu tidak mahu terpaksalah saya cari nombor akaun itu di komputer peribadi saya.

Alhamdulillah telah pun saya mendapatinya.  Di sini, ingin saya catatkan nombor akaun Tabung Pembangunan Masjid Dan Amal Jariah Johor bagi diri saya sendiri dan sesiapa yang ingin mengetahuinya.

Bank: Maybank

Nama: Tabung Pemb Masjid

Nombor Akaun: 551016202271

Sangat-sangatlah diharapkan agar pihak yang bertanggung jawab atas urusan tabung ini memastikan yang nombor akaun tabung ini mudah diperolehi atas talian kerana nombor talipon tidak boleh digunakan ketika luar waktu pejabat.  Ribuan terima kasih diucapkan.

Update: 22 Feb 2017

Entah kenapa ketika mencari dahulu tidak didapati, akan tetapi sekarang sudah boleh dengan senangnya.  Klik di sini untuk ke laman sesawang Tabung Pembagunan Masjid dan Amal Jariah Negeri Johor.

 

Selamat Hari Raya ‘Idil Adha 1437

Keadaan semasa di Mina dekat Jamrah dan kelihatan di belakang Masjid Khif

Keadaan semasa di Mina dekat Jamrah dan kelihatan di belakang Masjid Khif

Saya ucapkan kepada sekalian muslimin dan muslimat, “Selamat Hari Raya ‘Idil Adha.”

Dua ucapan yang lain yang biasa juga kita gunakan ialah “Selamat Hari Raya Haji” dan “Selamat Hari Raya Korban.”  Ini kerana ibadah Haji dan Korban yang dilaksanakan ketika ini.

Singkatan dari pelajaran yang boleh didapati dari sejarah perayaan ini ialah kalau kita dengan iklas melakukan ibadah/perintah Allah Ta’ala walaupun berat, pasti akan diberi jalan keluar serta mendapat RahmatNya, Tuhan yang Maha Esa yang senantiasa Maha Mengasihani dan sangat Maha Mengasihani.

Semoga ibadah-ibadah Haji dan Korban yang dilakukan diterima Allah Subhanahu Wa Ta’ala.  Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri 1437

Ucapan

Genap sebulan sudah kita menjalankan ibadah puasa Ramadhan dan kini Syawal menjelang pula.  Setelah menghayati bulan Ramadhan selama 30 hari sudah tentu sedikit-sebanyak kita akan merasa terharu dengan pemergiannya, semoga ibadah puasa kita diterima Allah Subhanahu Wa Ta’ala.  Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan kepada sekalian muslimin dan muslimat,

“Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri, Semoga Kembali Fitrah.”

Bagi yang mengenal diri ini, mohon maaf zahir dan bathin.

Adalah diharapkan setelah berlapar-laparan selama sebulan ianya dapat diteruskan dengan tidak makan terlalu banyak atau terlalu kenyang kerana Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Kami daripada gulungan yang tidak makan melainkan kami lapar, dan apabila kami makan tidak sampai kenyang.”

Kepada nabi yang merasa susah apabila kita susah dan menginginkan kita mendapat kebahagian, nabi yang menyimpan doa khusus kenabiannya untuk umatnya (semua para nabi-nabi diberi satu doa khusus yang Allah Ta’ala tidak akan menolaknya, semua para nabi-nabi telah menggunakannya hanya nabi Muhammad sahaja yang belum menggunakannya), nabi yang mana Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan para malaikat-malaikat berselawat ke atasnya dan orang-orang beriman diseru berselawat keatasnya yang mana setiap satu selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dibalas Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan sepuluh selawat ke atas yang berselawat, ucapan selawat dan salam keatasnya.

Ucapan kesejahteraan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala itu pasti, berapa banyakkah di antara kita yang memperbanyakkan atau melazimkannya? Dengan keadaan dunia masakini perbanyakkanlah berselawat keatas nabi Muhammad s.a.w. agar kita mendapat kesejahteraan, kebahagian dan keselamatan bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga dengan RahmatNya, tuhan yang Maha Esa lagi Maha Agung, yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani.  Amin, Ya Rabbal ‘Alamin.

Sallu Alaih.

 

Marhaban Ya Ramadhan 1437

Ramadhan

Dengan kedatangan bulan yang mulia dan penuh dengan keberkahan ini, saya ucapkan kepada sekalian muslimin dan muslimat,

“Selamat menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadhan ini semoga bertambah kesihatannya, bertambah imannya, cukup segala keperluannya serta mendapat kesejahteraan, keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.”

Amin, Ya Rabbal ‘Alamin.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w.,”Puasalah semoga kamu sihat.”

 

Selamat Hari Raya ‘Idil Adha 1436

Salah sebuah masjid di Tanjung, Lombok

Salah sebuah masjid di Tanjung, Lombok

Saya ucapkan kepada sekalian muslimin dan muslimat, “Selamat Hari Raya ‘Idil Adha.”

Kepada mereka yang sedang menunaikan ibadah haji semoga mendapat Haji yang Mabrur.  Yang menjalankan ibadah korban dan juga aqiqah, semoga korban dan aqiqah mereka diterima Allah SWT.

Amin, Ya Rabbal ‘Alamin.

Peluang Melihat Hujan Tahi Bintang Yang Menakjubkan

Rujukan arah constellasi Perseus dan Milky Way pada tanggal dan waktu yang tertera

Rujukan arah constellasi Perseus dan Milky Way pada tanggal dan waktu yang tertera

Hujan tahi bintang Perseid (Perseid meteor shower) adalah fenomena alam yang berlaku setiap tahun pada pertengahan Julai hingga ke pertengahan Ogos. Ia disebabkan oleh serpihan-serpihan dari komet Swift-Tuttle yang ditinggalkan pada orbit bujurnya melingkari matahari.  Pada saat ini, bumi sedang melanggari serpihan-serpihan ini. Sebagaimana yang kita ketahui, apabila serpihan-serpihan ini memasuki ke atmosfera bumi ia akan terbakar dan terhapus sebelum sempat menyentuh muka bumi. Tidak seperti tahun sudah, tahun ini kemuncaknya pada 11, 12, 13 dan 14 Ogos berada dalam keadaan bulan tua, jadi tidak ada gangguan dari cahaya bulan yang terang. Ini membuatkan keadaan malam lebih gelap dan memudahkan kita melihat hujan tahi-tahi bintang dengan jelas tanpa menggunakan apa-apa alatan.

Dijangkakan pada saat kemuncaknya, boleh dilihat lebih dari lima puluh tahi-tahi bintang menggarisi langit pada satu masa. Tetapi ini hanya ramalan sahaja, kerana tidak boleh dipastikan dengan tepat, atau adakah kemuncaknya lebih dari satu, berkali-kali?  Ia tidak dapat diramalkan dengan pasti, yang pastinya, banyak atau sedikit sahaja tahi-tahi bintang, ia berlaku dan kali ini malam tidak diganggu purnama.

Bagi sesiapa yang berminat untuk melihat fenomena ini pada hari-hari kemuncaknya, disarankan pergi ke tempat yang mana boleh dilihat langit gelap terbentang luas, lihat ke arah timur laut dari saat dinihari (tengah malam) hingga ke fajar.  Sesuatu yang istimewa bagi peminat-peminat fotografi pula, di situ juga arah boleh dipetik gambar sebahagian dari apa yang disebut Milky Way, jadinya pucuk dicinta ulam mendatang, dua dalam satu.

Nota: Saya gunakan Stellarium untuk mencari arah Perseus dan Milky Way.

Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri 1436

SHR
Dengan berakhirnya bulan Ramadhan yang penuh dengan barkah ini, dan menjelangnya Syawal, muga-muga puasa yang telah kita tunaikan diterima oleh Allah s.w.t., dan dengan RahmatNya yang Maha Melimpah-ruah, diberiNya senantiasa kepada kita sekalian, kesejahteraan, kebahagiaan, keselamatan di dunia dan di akhirat. Amin.

Sangatlah baik jika kita teruskan dengan berada dalam keadaan tidak terlalu kenyang. Telah didapati dalam satu kajian di Russia, ia itu orang yang boleh tahan lapar boleh bertahan dengan kehidupan pada waktu kesusahan kerana ia perlukan hanya sedikit makanan sahaja. Tetapi sebaliknya jika sekiranya ia makan berlebihan, dia akan cepat menjadi gemuk kerana makanan yang tidak diperlukan oleh badan akan disimpan menjadi lemak. Kesimpulan ini hasil dari siasatan para saintis Russia yang membuat penyelidikan terhadap mereka-mereka yang selamat setelah kota mereka dikepung oleh tentera Jerman lebih dari setahun semasa perang dunia kedua. Mereka hidup dengan apa yang ada pada ketika itu. Di dalam satu hadith, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Kami daripada gulungan yang tidak makan melainkan kami lapar, dan apabila kami makan, tidak sampai kenyang.” Muga-muga kita termasuk dalam gulungan itu. Amin.

Latihan berpuasa ini sangat berguna, lebih-lebih lagi kepada mereka yang berada di dalam gulungan yang tidak tahan lama dengan keadaan perut yang kosong. Jika dilaksanakan pasti mereka akan boleh tahan berlapar sebagaimana perpatah melayu ada mengatakan, “Alah bisa tegal biasa.” Semoga kita bertambah sihat wal afiat seterusnya senantiasa. Amin

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada sekalian muslimin dan muslimat,

“Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri,
Semoga Kembali Fitrah.”

Bagi yang mengenali diri ini, ku susun sepuluh jari mohon keampunan dan kemaafan atas segala silap dan salah.
Terima kasih.

Ku Berkelana Pada Akhir Ramadhan 1436

Desa Dieng di daerah Wonosobo pada senja hari

Desa Dieng di daerah Wonosobo pada senja hari

Tahun ini teringin pula untuk ke pulau jawa dan duduk di sana beberapa hari pada akhir Ramadhan hingga sampai menjelang Syawal. Dapat juga aku melihat dan merasakan bagaimana umat Islam setempat menjalankan ibadah puasa dan merayakan ‘Idil Fitri. Aku merencanakan dua tempat untuk aku lawat dan singgah dalam perjalananku ini. Dua tempat ini ialah Dieng dan Tawangmangu. Dieng ialah kawasan dataran tinggi (Plateau) dan Tawangmangu berada di bahu Gunung Lawu.  Berada pada kedudukan 2093 meter dpl,  Dieng lebih tinggi dari Tawangmangu yang berada pada ketinggian 1200 meter dpl, dan sudah tentu cuacanya pun lebih dingin hinggakan boleh menyebabkan embun beku pada masa-masa tertentu.

Jalan Lawu menuju ke Gunung Lawu

Jalan Lawu menuju ke Gunung Lawu

Sekarang ini, aku berada di tanah jawa, dan ternyata tidak banyak bezanya dengan keadaan di semenanjung tetapi ada juga yang unik. Sebagaimana biasa, kalau di kampung-kampung akan kedengaran laungan pekikan “Sahur” dan “Imsak” apabila tiba waktunya, bezanya, di sini ada banyak masjid-masjid, ianya membuat keadaan menjadi sahut-menyahut antara satu dengan yang lain dan berpanjangan jadinya. Yang uniknya ialah sesuatu yang dilakukan di Dieng. Selain dari laungan sahur, dibunyikan siren pada waktu berbuka dan pada waktu imsak. Satu saja siren untuk semua penduduk di kawasan itu dan ini sudah tentunya dapat menyelaraskan waktu. Tergambar di benakku atas suatu perkara yang berlaku lebih kurang 55 tahun yang lalu. Ketika itu keluargaku menetap di tingkat atas barek polis Pearl’s Hill di Singapura. Waktu hampir maghrib, aku memandang akan bapaku yang sedang berdiri berbongkok sambil menongkatkan kedua siku lengannya di tembok pagar di balkoni bilek kami (satu bilek dan satu balkoni saja, dapur berhadapan rumah, apartment kiranya, di seberang lorong) merenung jauh sambil menunggukan kedengaran bunyi das tembakan meriam. Begitu cepat masa berlalu.

Salam dari seberang,

25 Ramadhan 1436.