Tiada Paksaan Dalam Islam

Kita sebagai umat Islam apabila berdakwah kepada orang-orang yang bukan islam, ketahuilah bahawa tiada paksaan dalam Islam.  Mereka tidak boleh dipaksa untuk memeluki ugama Islam.  Tugas kita hanya menyampaikan sahaja dan terserahlah kepada diri mereka untuk menentukan.  Jika mereka jujur dan ikhlas, nescaya Allah Ta’ala akan membukakan jalan bagi mereka.  Jika sebaliknya maka tiada lah nur penerang masuk meresapi hati mereka. Akan tetapi sesama umat islam sendiri kita disuruh mengajak kepada membuat kebajikan, mengajak kepada membuat pekerjaan-pekerjaan yang baik-baik dan bukannya mengatakan tiada paksaan dalam islam, iaitu mereka boleh memilih untuk kekal dalam islam atau keluar dari ajaran islam dan menganut ugama yang lain.  Boleh dikatakan tiada sifat keprihatinan terhadap sesama islam yang lain.  Ini aniaya namanya.  Kerana, jika seseorang itu tidak islam maka di akhirat kelak nerakalah tempatnya dan kekal di situ buat selama-lamanya.  Dijauhkan Allah, aku berlindung denganNya dari yang sedemikian.

Islam perlu dihayati untuk merasakan kemanisannya. Sememangnya kita tiada daya dan upaya tetapi sekurang-kurangnya kita boleh berdoa untuk meminta petunjuk dan bimbingan daripada Allah Ta’ala serta mohon kekuatan untuk menjalankannya dengan sempurna.  Sesungguhnya Dia Maha Pemberi.

Saya akhiri dengan video dari Youtube yang menunjukkan beribu-beribu orang di negara Jerman memeluk Islam.

Advertisements

Rumah Melayu Bugis

Jalan menuju ke Pelabuhan Tanjung Batu

Zaman kanak-kanak ialah zaman yang manis walaupun ada juga pahitnya. Makan minum ditanggung, masih hijau tentang perihal kehidupan, ingatannya hanya bermain sahaja. Dari itu mereka perlu diawasi dan dididik agar tidak membuat perkara yang bukan-bukan.

Begitu juga saya, suatu masa dahulu saya juga termasuk dalam gulungan kanak-kanak. Banyak kenangan pahit dan manis yang masih segar dalam ingatan saya. Antara yang pahit ialah ketika mengejar kawan tak dapat lalu terlanggar bucu tembok. Akibatnya koyak dahi saya, terpaksa ke hospital untuk dijahit. Parutnya kekal sampai sekarang. Yang manisnya ialah mengingat kembali akan apa-apa yang saya lakukan pada masa itu. Kenangan manis yang menimbulkan keinginan saya untuk mencari rumah yang seperti rumah nenek saya dahulu di Kampung Hidayah, Lorong 21, Geylang, Singapura.

Gerai-gerai tepian jalan di Tanjung Batu ketika Supermoon mengambang

Dari bentuk yang asal, rumah nenek saya telah diperbesarkan dan ditambah lagi empat pintu. Tiga darinya disewakan dan yang satu lagi menjadi rumah bagi keluarga saya. Ianya terletak di tepi salah satu cabang dari Sungai Kallang. Dari belakang rumah, saya boleh ke rumah nenek melalui titian berpagar yang menyambung rumah keluarga saya dengan rumah nenek. Titian ini juga berfungsi sebagai bilek air kami, disinilah kami mandi. Ada satu lagi titian berpagar dari belakang rumah menghala ke tengah sungai di mana pada penghujungnya terdapat satu pondok. Pondok inilah tempat kami buang air samaada besar atau kecil. Kalau buang air besar ketika air surut ketepek bunyinya dan ketika air pasang plung bunyinya. Bunyi yang bergema dengan jelas di dalam pondok itu.

Sungai-sungai di Singapura bukanlah sungai yang sejati dalam erti kata sebenarnya. Ianya bukan dari air yang mengalir dari sumber-sumber mata air yang terdapat di gunung-ganang atau bukit-bakau. Malah ia saolah-olah rekahan di bumi yang bermula dari tepian pantai menusuk masuk ke dalam. Mungkin suatu masa dahulu ia sememangnya sungai yang sejati yang mana kini sudah mati dan tinggal hanya bekasnya sahaja. Oleh itu air sungai di belakang rumah akan naik dan turun mengikut pasang dan surutnya air laut. Jika air laut pasang besar, maka seluruh kawasan halaman kampung akan dipenuhi air. Ini menjadikan halaman kampung saolah-olah kolam renang yang besar. Ramai anak-anak kampung akan mandi, bermain dan berenang melainkan saya kerana dilarang ibu. Saya hanya duduk di tangga berandah rumah nenek melihat kawan-kawan yang lain mandi dan bermain dengan riangnya. Sesekali ada juga saya berjalan-jalan mengharung air.

Sewaktu air pasang penuh, selain dari ikan-ikan berenang kedalam ada juga najis-najis yang hanyut ke halaman kampung dan sesudah surut terdapat ada yang tertinggal. Ini menyebabkan anak-anak kampung ketika leka bermain, kadangkala terpijak najis ini (ini kenyataan yang saya tahu benar). Pernah suatu ketika dahulu seorang lelaki barat masuk kampung dan saat ia melihat air pasang penuh langsung mengucapkan, “Oh! High tide.” Ucapan ini telah menjadi bahan ketawa anak-anak muda kampung. Orang putih pun tahu, “Oh! Air tahi.”

Tidak terdapat banyak rumah seperti rumah nenek saya yang masih berdiri tegak, indah tersergam pada masa kini. Banyak yang sudah usang, dirubuhkan dan diganti dengan rumah baru yang tiada sama ciri-cirinya. Saya ingin mengambil kesempatan yang masih ada ketika ini untuk megambil gambar-gambar rumah yang ciri-cirinya sama dengan rumah nenek saya untuk disimpan sebagai kenangan dan juga sebagai rujukan. Banyak tempat sudah saya ziarahi di Johor-Riau, tetapi belum seluruh pelusuk, banyak yang tiada. Setakat ini saya hanya dapat menemui satu di Pontian, Johor, Malaysia. Di Kepulauan Riau pula setelah ke Singkep, Selayar, Lingga, Karimun dan Moro tiada saya temukan. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya ketemu dengan dua buah rumah di Sungai Sebesi (Sungai Besi), Pulau Kundur, Kepulauan Riau, Indonesia. Inilah rumah orang-orang melayu suku bugis suatu ketika dahulu. Ciri-ciri penuhnya ialah:

1) Rumah panggung yang bertiang kayu,
2) Terdapat kayu melintang yang dipasakkan pada tiang-tiang itu dibahagian atas dekat dengan lantai,
3) Ia mempunyai berandah,
4) Tingkapnya labuh sampai ke lantai dan banyak jumlahnya.

Serkat, Pontian, Johor, Malaysia. Berandah di kiri terlindung. Ciri-ciri yang sangat serupa dengan rumah nenek saya termasuk papan dinding yang bertindih dan ketinggian tiang-tiangnya. Kayu yang melintang antara tiang-tiang itu kerap saya terantuk jika leka ketika keluar masuk kolong rumah. Anjung yang kelihatan melintang ialah tambahan yang baru bukan dari asal

Inilah kayu yang melintang pada tiang-tiang rumah di sebelah atas

Kayu yang melintang pada sebelah atas tiang-tiang rumah

Sungai Besi, Kundur, Kepulauan Riau, Indonesia

Sungai Besi, Kundur, Kepulauan Riau, Indonesia

Tiada berandah. Sungai Besi, Kundur, Kepulauan Riau, Indonesia

Rumah usang. Selat Belia, Kundur, Kepulauan Riau, Indonesia

 

Lanjutan: 28 Mac 2016

Sebagaimana yang disyurkan oleh Pak Arya dibahagian komentar artikel ini, saya telah pergi ke Pulau Bengkalis pada hari Jumaat yang lalu.  Belum pernah saya ke Pulau Bengkalis, inilah kali pertama.  Feri langsung terus ke Pulau Bengkalis boleh didapati di bandar Muar, Johor dan kota Melaka. Saya menggunakan laluan Muar-Bengkalis untuk pergi dan pulang megikuti laluan Bengkalis-Melaka.

Buat menjelajahi Pulau Bengkalis, saya telah mendapatkan khidmat Bapak Zainuddin dengan becakmotornya. Memang benar terdapat banyak rumah-rumah panggung lama di sana hanya hampir keseluruhannya tidak mempunyai ciri-ciri rumah melayu bugis seperti yang tertera di atas.  Walaubagaimanapun, alhamdulillah, saya tidak kecewa kerana saya ada berjumpa dengan satu rumah yang mempunyai ciri-ciri penuh tersebut.  Ianya terletak di Jalan Kelapapati Laut tidak jauh dari Masjid Istiqomah, Pulau Bengkalis.  Berkemungkinan juga ada lagi rumah-rumah seperti ini di tempat-tempat yang saya belum lewati.  Mungking di lain kesempatan jika ada dan tidak lupa juga untuk saya ucapkan terima kasih saya kepada Pak Arya, BarakAllah.

Inilah rumah yang terdapat di Jalan Kelapapati Laut, Pulau Bengkalis.

Kelapapati Laut

Jalan Kelapapati Laut, Pulau Bengkalis, Riau, Indonesia

 

Bapak Zainudding

Saya ucapkan terima kasih atas jasa bapak Zainuddin membawa saya menggelilingi Pulau Bengkalis

Moro – Salah Satu Daerah di Kepulauan Riau

Tanjung Balai

Di dalam usaha saya untuk mencari rumah melayu bugis, saya telah ke Moro, Karimun, salah satu kawasan di daerah Kepulauan Riau, Indonesia. Dari Singapura saya telah menuju ke Tanjung Balai dan bermalam satu hari di sana.
Terdapat banyak hotel di Tanjung Balai untuk dibuat pilihan. Esoknya pada pukul sepuluh saya check-out dan berjalan-jalan di pekan sambil menanyakan feri ke Moro. Pukul dua petang barulah saya berangkat ke Moro. Jeti untuk ke Moro berasingan dengan jeti (pelabuhan) besar di mana terdapat banyak feri-feri ke tempat-tempat yang jauh seperti Batam, Tanjung Pinang juga Malaysia dan Singapura. Feri ke Moro yang saya naiki kecil sahaja, boleh muat kira-kira dua puluhan penumpang. Ia digerakkan oleh empat enjin yang berkuasa tinggi. Dalam masa satu jam saja saya telah pun sampai ke Moro tempat asal isteri pertama datuk saya dari sebelah emak. (tambahan: 24 Jun 2012)  Datuk saya berasal dari Tanjung Batu dan nenek saya (isteri keduanya) dari Tanjung Balai.

Pekan Moro

Pekan Moro lebih kecil lagi dari pekan Tanjung Balai dan tidak terdapat banyak rumah-rumah penginapan di sini. Hotel Wisata Fajar Moro yang terletak dibelakang Masjid Al Aqsho tidak jauh dari pelabuhan besar Moro menjadi pilihan saya. Jangkanya saya hendak bermalam satu malam sahaja, tetapi oleh kerana terdapat banyak helang-helang di sini maka saya lanjutkan sampai dua malam. Sememangnya saya berminat untuk memetik gambar helang jika ada kesempatan.
Dalam perbualan saya dengan penduduk-penduduk tempatan, ternyata di Moro juga tiada rumah seperti yang saya cari. Satu-satunya yang tinggal telahpun diganti baru yang tidak sama.

Pelabuhan Moro

Kehampaan itu sedikit sebanyak diubati dengan hadhirnya helang-helang yang saya kira boleh tahan juga jumlahnya tetapi tidak sebanyak jumlah yang saya lihat di Daik, Pulau Lingga. Helang-helang di sini sama jenisnya dengan helang-helang di Daik. Istilah melayunya tidak saya ketahui tetapi di dalam bahasa Inggeris ia disebut Red-backed Sea Eagle atau lebih dikenali sebagai Brahminy Kite. Ada satu lagi jenis helang yang sesekali dapat saya lihat di sini yang mana tidak saya lihat di Daik tetapi saya melihatnya di Pulau Perhentian, Terengganu, Malaysia. Ianya berbadan putih, sayapnya di belakang (atas) berwarna hitam dan di bawah berwarna hitam dan putih. Istilah melayunya kalau tidak silap saya ialah Helang Laut atau Helang Hamba Siput (Helang Siput). Istilah Inggerisnya ialah White-bellied Sea Eagle.

Rumah di tepian pantai, Moro

Antara sebab terdapat banyak helang di sini ialah sebuah perusahaan menangkap dan mengekspot ikan. Dalam usaha mereka untuk membungkus ada ikan-ikan yang terjatuh ke laut atau ada yang tidak menjadi pilihan lalu di buang. Ikan-ikan ini lah yang menjadi salah satu sumber makanan kepada burung-burung helang selain dari menangkapnya sendiri. Pemandangan yang sangat menarik melihat helang-helang menjunam dan menyambar ikan yang berada di permukaan air.

Pada hari ketiga di Moro saya berangkat pulang ke Tanjung Balai pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan. Perjalanan kali ini memakan masa lebih dari satu jam kerana ada beberapa tempat yang disinggah sebelum sampai ke Tanjung Balai. Juga ferinya lebih besar dan ianya menggunakan enjin disel. Saya bermalam lagi di Tanjung Balai. Pada pagi keesokannya sebelum pulang ke Singapura saya sempat menziarahi Air Terjun Pongkar, Pantai Pongkar dan Pantai Palawan.

Air Terjun Pongkar, Karimun

Pantai Pongkar, Karimun

Pantai Palawan, Karimun

Setelah ziarah check-out dari hotel pada pukul 12.00 tengahari. Minum teh diwarung bersebelahan hotel sebelum ke pelabuhan. Hari itu hari jumaat, penjual lontong ke masjid, jadi cuma minum sahaja. Tepat pukol 1.00 tengahari, bertolak ke pelabuhan untuk menaiki feri pulang ke Singapura.

Burung Helang Terlepas Ikan

Masjid Al Aqsho Moro. Kelihatan hotel di belakang

Dari Kulaijaya ke Daik

Gunung Daik – Salah satu puncaknya patah dipanah petir

Saya tahu mengenai perkataan Daik sejak saya masih kecil lagi apabila ia di ungkapkan dari bibir ibu saudara saya dan kemudian dengan pantun lama yang sesekali saya dengar atau terbaca. Pantun yang tidak asing lagi iaitu;

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Rumah yang seperti rumah nenek saya. Ciri-cirinya sama cuma bentuknya lain. Berandah di kiri terlindung

Kira-kira sebulan yang lalu saya telah terbaca cerita mengenai Daik, maka timbullah keinginan saya untuk ke sana. Daik letaknya di Pulau Lingga, berdekatan dengan Pulau Singkep dan Pulau Selayar. Ia termasuk dalam kawasan pemerintahan daerah Kepulauan Riau. Tidak banyak keterangan yang saya dapat dari internet mengenai Daik dan sekitarannya tetapi cukup memadai sebagai panduan bagi saya ke sana. Selain dari itu, saya juga ingin mengambil gambar akan rumah-rumah yang seperti rumah nenek saya dahulu di Kampung Hidayah, Lorong 21, Geylang, Singapura. Ciri-cirinya ialah 1) Rumah panggung yang tiangnya kayu, 2) Tiang-tiangnya dikuatkan dengan dipasakkan kayu melintang di bahagian atas dekat dengan lantai rumah, 3) Ia mempunyai berandah, 4) Tingkapnya labuh sampai ke lantai. Setakat ini saya hanya menemui satu atau dua rumah di daerah Pontian, Johor. Mungkin banyak yang telah usang lalu dirubuhkan dan diganti baru yang tidak sama ciri-cirinya.

Ciri-ciri yang sama dengan rumah nenek saya

Feri ke Daik boleh didapati di pekan Tanjung Pinang di Pulau Bintan, Kepulauan Riau. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang empat atau lima jam. Saya telah memilih untuk ke Batam dan menaiki pesawat ke Dabo di Pulau Singkep dengan perjalanan yang memakan waktu hanya satu jam sahaja. Sayangnya pekhidmatan itu telah tiada lagi. Jadi terpaksa saya pergi ke Tanjung Pinang untuk mendapatkan feri ke Daik. Akan tetapi, alhamdulillah, telah pun ada perkhidmatan feri dari Sekupang, Batam ke Tanjung Buton, Pulau Lingga yang mana ia singgah di Jago (jagoh) di Pulau Singkep.

Dari Sekupang selepas tengahari saya berangkat ke Jago dan tiba di sana pada waktu petang. Setibanya di Jago saya teruskan perjalanan saya ke Dabo dengan menaiki salah satu kenderaan yang banyak tersedia menunggu dan menginap satu malam di sana. Saya tidak sempat untuk merayau-rayau di Dabo kerana saya hanya bermalam saja. Pada keesokannya, selepas mengambil gambar di pekan Dabo, pada pukol 9.30 pagi saya bertolak lagi ke Jago dengan menaiki ojek. Tujuan saya pada hari ini ialah Pulau Selayar yang berdekatan dengan Pulau Singkep tetapi jauh sedikit dari Pulau Lingga dengan menaiki pompong (perahu penambang). Kurang dari sepuluh minit saya telah pun tiba di jeti Desa Penuba, Pulau Selayar.

Anak-anak di Pulau Selayar, yang di atas memegang gasing buatan sendiri.

Mess di Penuba, Pulau Selayar

Hanya terdapat satu sahaja tempat penginapan di Penuba yang di panggil Mess. Saya di beritahu kemudian bahawa ada satu lagi Mess yang baru akan tetapi tidak pula saya pergi meninjau Mess yang baru itu. Dua malam saya di Pulau Selayar. Masa yang saya habiskan dengan mengelilingi pulau itu berjalan kaki dan apabila sudah keletihan, naik ojek balik ke Mess. Rumah seperti rumah nenek saya tiada di sini. Pada sebelah pagi, hari ketiga saya di Penuba, saya meneruskan perjalanan ke Tanjung Buton di Pulau Lingga dengan menaiki perahu laju dari Jago. Perjalanan dari Jago ke Tanjung Buton memakan masa setegah jam. Dari jeti Tanjung Buton saya menaiki ojek ke pekan Daik dan mendapatkan tempat penginapan. Waktu tengahari hingga ke petang saya habiskan meninjau kawasan berdekatan dengan berjalan kaki. Puncak Gunung Daik, semenjak saya melihatnya dari Penuba senantiasa ditutupi awan.

Salah satu rumah di desa Tanjung Dua, Pulau Selayar

Jadi tiada peluang untuk memetik gambar puncaknya. Rumah yang saya ingin ketemu juga tiada. Rupa-rupanya rumah seperti itu sudah tiada lagi di Singkep, Selayar dan Lingga. Banyak juga pendatang dari daerah lain di Indonesia. Kebanyakkan tingkap rumah-rumah telah berubah. Bukan lagi seperti tingkap rumah-rumah melayu tetapi seperti tingkap-tingkap yang terdapat di kapal-kapal orang-orang barat dahulu, ianya dibuka dengan menolak ke atas sedikit sahaja lalu di tongkatkan.

Pada keesokannya saya menaiki ojek untuk menziarah bekas tapak Istana Damnah, mandi di sungai berdekatan, melawat muzium yang ada di sana, pergi ke Pantai Pasir Panjang dan Air Terjun Resun. Perjalanan kami tersekat-sekat kerana harus berhenti disebabkan hujan. Gunung Daik masih malu lagi, puncaknya masih ditutupi awan. Hanya pada pagi hari keberangkatan

Rumah-rumah tepi sungai di Daik dengan Gunung Daik kelihatan

saya pulang barulah saya berkesempatan untuk mengambil gambar puncaknya yang tidak dilindung awan buat seketika.

Pada pukul tujuh pagi (waktu tempatan) saya telah berada di jeti Tanjung Buton untuk menaiki feri ke Sekupang dan seterusnya pulang ke rumah dan selamat sampai di rumah pada pukul sembilan malam.

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang akan tetapi adanya dahulu adanya sekarang.

Catatan:

Feri ke Tanjung Pinang di Pulau Bintan dan Batam

Dari Johor, Malaysia
Stulang Laut Ferry Terminal (atau Johor Baru International Ferry Terminal)
Pasir Gudang Ferry Terminal

Dari Singapura

Pantai Pasir Panjang, Pulau Lingga

Harbour Front Ferry Terminal
Tanah Merah Ferry Terminal

Duit Belanja : Pastikan bawa wang secukupnya kerana tiada ATM di Pulau Lingga dan Pulau Selayar. Hanya satu sahaja ATM yang terdapat di Dabo, Pulau Singkep, itupun tidak diketahui samaada boleh mengunnakan kad dari bank asing (ini saya tidak periksa). Ojek atau kenderaan dari Jago ke Dabo sekitar 30 atau 35 ribu satu perjalanan. Ojek dari Tanjung Buton ke Daik sekitar 12 ribu. Feri dari Sekupang ke Jago 180 ribu dan feri dari Tanjung Buton ke Sekupang 195 ribu.

Penginapan : Penginapan murah sekitar 60 ribu dengan bilek airnya di luar. Yang lebih baik lagi ada di Daik dan Dabo. Mess

Air Terjun Resun bahagian bawah, Pulau Lingga

yang di Penuba mempunyai bilek air di dalam dan harganya cuma 50 ribu. Di Pulau Lingga dikenakan pajak (cukai) sebanyak 10% ke atas bilek dan juga makan. Saya rasa penduduk kampung sedia menumpangkan untuk bermalam dengan bayaran yang munasabah. Ini boleh dijadikan sebagai  pendapatan sampingan kepada penduduk-penduduk di sana. Cuma pastikan kebersihannya. Ada yang permandiannya cuma dikepung kelilingnya saja dan itu pun dindingnya tidak tinggi. Konsep Homestay sudah ada hanya tetapi belum ada yang rasmi.

Makan : Makan di warung termasuk kopi atau teh sekitar 18 hingga 23 ribu. Ini tergantung kepada apa yang dimakan dan banyak atau sedikit lauknya. Saya hanya makan satu atau dua lauk sahaja. Kalau makan lontong atau gado-gado minta jangan dibubuh mee melainkan anda suka lontong atau gado-gado dengan mee.