Lagi Rumah Melayu Bugis

Berandah telah dirubuhkan dan diganti dengan anjung. Tiang-tiangnya agak rendah sedikit

Seorang Teman telah menyatakan kepada saya bahawa di daerah Benut banyak rumah-rumah lama, mungkin rumah yang saya maksudkan ada di sana. Maka pada petang Selasa 28 Julai lepas saya telah pergi ke Benut dan meninjau-ninjau sekitarannya. Benar sekali kata rakan saya itu terdapat banyak rumah kayu yang masih utuh di sekitaran Benut tetapi tidak semua dari jenis yang saya hajati. Walaubagaimanapun saya dapat menjumpai empat buah rumah yang mana ianya tiada berandah. Apabila saya mengajukan perkara ini kepada penghuni di dua buah rumah dari rumah-rumah itu, mereka menyatakan bahawa berandahnya telah dirubuhkan dan diganti dengan anjung.

Juga berandah telah dirubuhkan. Kolong rumah telah dipagar dengan tembok

Dua dari rumah-rumah panggung ini tiada berpenghuni dan salah satu darinya saya perkirakan berandahnya pun sudah dirubuhkan dan diganti dengan anjung. Jalan-jalan di kampung-kampung di sekitaran Benut agak sempit, muat untuk sebuah kenderaan beroda empat sahaja. Jika ada kenderaan yang datang dari arah bertentangan maka salah satu kenderaan hendaklah berhenti di tepian jalan untuk memberi laluan. Oleh itu saya tidak meninjau begitu lama di sini dan juga hari sudah hampir maghrib. Saya teruskan perjalanan saya ke pekan Benut dan singgah sebentar di warung di tepi sungai untuk menikmati roti canai telur bawang dan teh halia. Setelah selesai saya pun meninjau-ninjau sebentar di daerah yang berhampiran menghala ke laut. Tiada rumah seperti yang dikehendaki lalu saya pun bergegas pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang saya telah melihat sebuah lagi rumah di tepian jalan raya dari Benut menuju ke Simpang Renggam dan berhenti sebentar untuk mengambil gambarnya setelah meminta izin dari penghuninya. Penghuninya yang muda kurang pasti mengenai berandah yang saya tanyakan jika sekirannya ianya ada dahulu dan telah dirubuhkan dan diganti dengan anjung.

Saya ingin menambah sedikit tentang ciri-ciri rumah ini. Selain dari mempunyai tingkap yang labuh sampai ke lantai, jumlah tingkap-tingkapnya juga banyak. Boleh dikatakan ianya berdekatan diantara satu dengan yang lain. Ini benar sekali pada ruang tamu. Hasilnya keaadaan dalam rumah terang dan berangin jika semua tingkap-tingkapnya dibuka. Juga siling (ceiling) adalah sesuatu yang moderen yang telah diadaptasikan dengan adanya abestos pada rumah-rumah ini. Tetapi sebelum siling, maka langit-langit digunakan. Bagi yang belum pernah melihat langit-langit, ianya adalah beberapa helai kain putih yang panjang menutupi bahagian rumah dari bumbung. Tetapi sekarang terlalu jarang rumah yang ada langit-langit melainkan siling sahaja. Begitu juga bumbung yang dahulu beratap nipah kini telah digantikan dengan atap zeng.

Tiada berpenghuni dan tiada berandah

Tiada berpenghuni. Kemungkinan berandah telah diganti dengan anjung

Masih dihuni tetapi tiada berandah. Penghuninya yang muda kurang pasti apabila ditanya

Dari Kulaijaya ke Daik

Gunung Daik – Salah satu puncaknya patah dipanah petir

Saya tahu mengenai perkataan Daik sejak saya masih kecil lagi apabila ia di ungkapkan dari bibir ibu saudara saya dan kemudian dengan pantun lama yang sesekali saya dengar atau terbaca. Pantun yang tidak asing lagi iaitu;

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Rumah yang seperti rumah nenek saya. Ciri-cirinya sama cuma bentuknya lain. Berandah di kiri terlindung

Kira-kira sebulan yang lalu saya telah terbaca cerita mengenai Daik, maka timbullah keinginan saya untuk ke sana. Daik letaknya di Pulau Lingga, berdekatan dengan Pulau Singkep dan Pulau Selayar. Ia termasuk dalam kawasan pemerintahan daerah Kepulauan Riau. Tidak banyak keterangan yang saya dapat dari internet mengenai Daik dan sekitarannya tetapi cukup memadai sebagai panduan bagi saya ke sana. Selain dari itu, saya juga ingin mengambil gambar akan rumah-rumah yang seperti rumah nenek saya dahulu di Kampung Hidayah, Lorong 21, Geylang, Singapura. Ciri-cirinya ialah 1) Rumah panggung yang tiangnya kayu, 2) Tiang-tiangnya dikuatkan dengan dipasakkan kayu melintang di bahagian atas dekat dengan lantai rumah, 3) Ia mempunyai berandah, 4) Tingkapnya labuh sampai ke lantai. Setakat ini saya hanya menemui satu atau dua rumah di daerah Pontian, Johor. Mungkin banyak yang telah usang lalu dirubuhkan dan diganti baru yang tidak sama ciri-cirinya.

Ciri-ciri yang sama dengan rumah nenek saya

Feri ke Daik boleh didapati di pekan Tanjung Pinang di Pulau Bintan, Kepulauan Riau. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang empat atau lima jam. Saya telah memilih untuk ke Batam dan menaiki pesawat ke Dabo di Pulau Singkep dengan perjalanan yang memakan waktu hanya satu jam sahaja. Sayangnya pekhidmatan itu telah tiada lagi. Jadi terpaksa saya pergi ke Tanjung Pinang untuk mendapatkan feri ke Daik. Akan tetapi, alhamdulillah, telah pun ada perkhidmatan feri dari Sekupang, Batam ke Tanjung Buton, Pulau Lingga yang mana ia singgah di Jago (jagoh) di Pulau Singkep.

Dari Sekupang selepas tengahari saya berangkat ke Jago dan tiba di sana pada waktu petang. Setibanya di Jago saya teruskan perjalanan saya ke Dabo dengan menaiki salah satu kenderaan yang banyak tersedia menunggu dan menginap satu malam di sana. Saya tidak sempat untuk merayau-rayau di Dabo kerana saya hanya bermalam saja. Pada keesokannya, selepas mengambil gambar di pekan Dabo, pada pukol 9.30 pagi saya bertolak lagi ke Jago dengan menaiki ojek. Tujuan saya pada hari ini ialah Pulau Selayar yang berdekatan dengan Pulau Singkep tetapi jauh sedikit dari Pulau Lingga dengan menaiki pompong (perahu penambang). Kurang dari sepuluh minit saya telah pun tiba di jeti Desa Penuba, Pulau Selayar.

Anak-anak di Pulau Selayar, yang di atas memegang gasing buatan sendiri.

Mess di Penuba, Pulau Selayar

Hanya terdapat satu sahaja tempat penginapan di Penuba yang di panggil Mess. Saya di beritahu kemudian bahawa ada satu lagi Mess yang baru akan tetapi tidak pula saya pergi meninjau Mess yang baru itu. Dua malam saya di Pulau Selayar. Masa yang saya habiskan dengan mengelilingi pulau itu berjalan kaki dan apabila sudah keletihan, naik ojek balik ke Mess. Rumah seperti rumah nenek saya tiada di sini. Pada sebelah pagi, hari ketiga saya di Penuba, saya meneruskan perjalanan ke Tanjung Buton di Pulau Lingga dengan menaiki perahu laju dari Jago. Perjalanan dari Jago ke Tanjung Buton memakan masa setegah jam. Dari jeti Tanjung Buton saya menaiki ojek ke pekan Daik dan mendapatkan tempat penginapan. Waktu tengahari hingga ke petang saya habiskan meninjau kawasan berdekatan dengan berjalan kaki. Puncak Gunung Daik, semenjak saya melihatnya dari Penuba senantiasa ditutupi awan.

Salah satu rumah di desa Tanjung Dua, Pulau Selayar

Jadi tiada peluang untuk memetik gambar puncaknya. Rumah yang saya ingin ketemu juga tiada. Rupa-rupanya rumah seperti itu sudah tiada lagi di Singkep, Selayar dan Lingga. Banyak juga pendatang dari daerah lain di Indonesia. Kebanyakkan tingkap rumah-rumah telah berubah. Bukan lagi seperti tingkap rumah-rumah melayu tetapi seperti tingkap-tingkap yang terdapat di kapal-kapal orang-orang barat dahulu, ianya dibuka dengan menolak ke atas sedikit sahaja lalu di tongkatkan.

Pada keesokannya saya menaiki ojek untuk menziarah bekas tapak Istana Damnah, mandi di sungai berdekatan, melawat muzium yang ada di sana, pergi ke Pantai Pasir Panjang dan Air Terjun Resun. Perjalanan kami tersekat-sekat kerana harus berhenti disebabkan hujan. Gunung Daik masih malu lagi, puncaknya masih ditutupi awan. Hanya pada pagi hari keberangkatan

Rumah-rumah tepi sungai di Daik dengan Gunung Daik kelihatan

saya pulang barulah saya berkesempatan untuk mengambil gambar puncaknya yang tidak dilindung awan buat seketika.

Pada pukul tujuh pagi (waktu tempatan) saya telah berada di jeti Tanjung Buton untuk menaiki feri ke Sekupang dan seterusnya pulang ke rumah dan selamat sampai di rumah pada pukul sembilan malam.

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang akan tetapi adanya dahulu adanya sekarang.

Catatan:

Feri ke Tanjung Pinang di Pulau Bintan dan Batam

Dari Johor, Malaysia
Stulang Laut Ferry Terminal (atau Johor Baru International Ferry Terminal)
Pasir Gudang Ferry Terminal

Dari Singapura

Pantai Pasir Panjang, Pulau Lingga

Harbour Front Ferry Terminal
Tanah Merah Ferry Terminal

Duit Belanja : Pastikan bawa wang secukupnya kerana tiada ATM di Pulau Lingga dan Pulau Selayar. Hanya satu sahaja ATM yang terdapat di Dabo, Pulau Singkep, itupun tidak diketahui samaada boleh mengunnakan kad dari bank asing (ini saya tidak periksa). Ojek atau kenderaan dari Jago ke Dabo sekitar 30 atau 35 ribu satu perjalanan. Ojek dari Tanjung Buton ke Daik sekitar 12 ribu. Feri dari Sekupang ke Jago 180 ribu dan feri dari Tanjung Buton ke Sekupang 195 ribu.

Penginapan : Penginapan murah sekitar 60 ribu dengan bilek airnya di luar. Yang lebih baik lagi ada di Daik dan Dabo. Mess

Air Terjun Resun bahagian bawah, Pulau Lingga

yang di Penuba mempunyai bilek air di dalam dan harganya cuma 50 ribu. Di Pulau Lingga dikenakan pajak (cukai) sebanyak 10% ke atas bilek dan juga makan. Saya rasa penduduk kampung sedia menumpangkan untuk bermalam dengan bayaran yang munasabah. Ini boleh dijadikan sebagaiĀ  pendapatan sampingan kepada penduduk-penduduk di sana. Cuma pastikan kebersihannya. Ada yang permandiannya cuma dikepung kelilingnya saja dan itu pun dindingnya tidak tinggi. Konsep Homestay sudah ada hanya tetapi belum ada yang rasmi.

Makan : Makan di warung termasuk kopi atau teh sekitar 18 hingga 23 ribu. Ini tergantung kepada apa yang dimakan dan banyak atau sedikit lauknya. Saya hanya makan satu atau dua lauk sahaja. Kalau makan lontong atau gado-gado minta jangan dibubuh mee melainkan anda suka lontong atau gado-gado dengan mee.