Ikut Resmi Padi
Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang. Kata-kata yang tidak asing lagi bagi kita yang menyentuh tentang perubahan dari masa ke masa. Begitu juga bahasa. Tidak hairanlah kalau kita cuba membaca naskah-naskah lama dan mendapati susunan ayat-ayatnya lain dari yang kita biasa dengannya pada masa kini. Secara umum, anak-anak dan orang-orang muda lah yang membuat perubahan bahasa. Mereka lah yang lebih kreatif dalam menggunakan bahasa jika dibandingkan dengan yang tua.
Saya akan bentangkan disini istilah-istilah atau kekata-kekata yang telah berubah sebutannya atau maknanya sebagaimana yang telah saya ketahui. Sama ada dari pengalaman, pengamatan atau pembelajaran yang telah saya lalui.
Timing: Kalau kita tonton cerita P Ramlee, maka kita akan dengar sebutan kekata ini. Arti kekata ini ialah sombong. Masa saya remaja, istilah kekata ini telah berubah menjadi kepada ‘kerek’. Anak-anak muda sekarang telah menggantikannya dengan kekata ‘ego’.
Gelek: Sesuatu yang kita suka atau gembira dengannya, keadaan itu akan membuat kita boleh berjoget. Maka istilah gelek digunakan untuk menunjukkan bahawasanya kita menyukainya. Tapi sekarang ia telah berubah dari gelek menjadi gerek.
Ford Car: Produk yang pertama di dunia menjalani proses ‘mass assembly’. Jadi tidak hairanlah ia banyak terdapat di merata dunia. Akan tetapi, kerana pelatnya lidah orang kita dahulu, ia disebut podkar. Masa saya kecil dahulu, jikalau ternampak kereta lama dan buruk masuk kampung, kereta itu disebut kereta pokak. Lalu istilah pokak ini digunakan untuk barang-barang yang lama atau tidak bagus. Ia tidak berhenti di situ, dari pokak ia telah berubah mejadi pekak. Sekarang ada pula tambahan dibelakangnya. Pekak Badak. Macam mana badak boleh timbul, tidak saya ketahui.
Yang ini bukan kekata tetapi peribahasa.
Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat : Ini adalah suatu peribahasa yang berunsur pengajaran yang positif dan bukannya negatif. Adalah sangat dikesali kerana peribahasa yang murni ini telah dinegatifkan oleh kebanyakkan orang-orang melayu sekarang ini. Saya ketahui ini dari seorang guru tua yang arif. Peribahasa ini orang kita sekarang banyak menggunakannya untuk majlis-majlis perkahwinan. Biar besar-besaran, berhutang pun tak apa. Atau dengan lain kata, “Biar papa, asal bergaya.” Jauh lari dari makna asalnya yang suci.
Sudah menjadi adat orang-orang kita pada masa dahulu, apabila negara diserang musuh, maka anak-anak muda akan diserahkan menjadi askar untuk mempertahankan negara. Umumnya, sudah menjadi lumrah peperangan, pasti ada yang terkorban. Dengan ini maka timbullah peribahasa, “Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat.” Inilah adat yang dimaksudkan bukannya adat majlis perkahwinan.
Mengadakan majlis perkahwinan yang di luar kemampuan menyusahkan diri sendiri, apatah lagi kalau ianya membawa kepada pembaziran. Tersebut di dalam Al Qur’an yang terjemahannya di dalam bahasa melayu adalah, “Jagan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” Hadith pula ada menyebut, “Sebaik-baik perkara adalah yang sederhana.”